ALUMNI FOUNDATION TALK (AF TALK) 2015

Program Alumni Foundation Talk ini dianjurkan oleh Persatuan Alumni UPM (PAUPM) dengan kerjasama Kolej-Kolej Kediaman UPM bertujuan membawa kembali Alumni untuk bersama-sama kembali menyumbang semula ke Universiti melalui perkongsian ilmu pengetahuan, mengimbau zaman ketika menyambung pengajian di UPM, memberikan motivasi dalam pengurusan masa, tips cemerlang di zaman belajar dan sebagainya. Perkongsian ilmu, pengalaman ini dilihat platform memberikan inspirasi dan semangat kepada pelajar baru ini untuk melakar hala tuju mereka di kampus ini sehingga bergraduat kelak.

Program ini dimulakan dengan Kolej Kesebelas pada 7 September 2015 (Isnin) dengan menampilkan  2 panel iaitu Lar. Siti Maisarah Binti Salahudin (Alumni 2000) dan Y.Bhg. Dato’ Dr. Mohamad Hashim Ahmad Tajudin (Alumni ’78) yang juga Exco PAUPM Sesi 2015-2017. Presiden PAUPM; YAM Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail turut hadir merasmikan program ini. Puan Siti Maisarah merupakan seorang arkitek di salah sebuah Syarikat arkitek terkemuka di ibu negara sudi berkongsi pengalaman beliau daripada zaman belajar sehingga menempuh alam pekerjaan.

Program Alumni Foundation Talk seterusnya diteruskan ke Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) yang membariskan panel yang cukup hebat dan berpengalaman seperti Encik Shamsol Azhar Ismail (Alumni 1996); Pengurus Besar Wiranda (M) Sdn. Bhd.; Encik Sathiaseelan atau lebih dikenali sebagai Seelan Paul kini menjawat jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO) Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP) dan Puan Fazliza Minhat. Perkongsian bersama pelajar-pelajar Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) ini cukp menarik sehingga suasana di dalam Dewan cukup meriah. Apatah lagi kedua-dua Alumni yang dijemput ini cukup terkenal di Kolej dan kini masih meneruskan tradisi menyumbang kepada kolej semula.

Pada keesokan harinya (11 September 2015 (Jumaat)), program ini diteruskan ke Kolej Kedua Belas (K12) di Dewan Putra 2, Kolej Serumpun jam 9.00 malam. Pada kali ini PAUPM dan Kolej Kedua Belas menampilkan panel terdiri daripada Encik Saufi Bin Othman, Cik Nadiah Binti Sa’at dan Y.Bhg. Dato’ Dr. Azhar Ismail (Alumni ’75). Ternyata perkongsian program ini sangat menarik apatah lagi panel yang ditampilkan daripada latar belakang yang berbeza dan masing-masing mempunyai pengalaman zaman belajar dan alam pekerjaan yang cukup mencabar. Pada hari yang sama Program AF Talk ini juga berlangsung di Kolej Pendeta Zaaba (KPZ) yang menampilkan panel daripada Alumni muda seperti Encik Sabrie Salleh (usahawan berjaya); Encik Ammar Izat (guru sekolah agama) dan Puan Azniyati Binti Mohd Mansor.

Pada 17 September 2015 (Isnin) program ini diteruskan ke Kolej Kesepuluh (K10) yang membariskan Panel hebat seperti Encik Amos Ng (Alumni 2000) dan Encik Jamali Janib (Alumni 1990). Encik Amos Ng merupakan ketua Pegawai Eksekutif di Amos Ng Architecture adalah seorang graduan UPM yang cukup aktif di Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM. Beliau merupakan antara pengasas dan mantan Presiden Kesatuan Alumni Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM (KASEL). Encik Jamali Janib merupakan Penolong Pendaftar Kanan di Pejabat Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik, Pelajar dan Alumni dan Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Kejuruteraan UPM. Beliau yang kini menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah juga merupakan seorang Alumni yang aktif di Fakulti mahupun Universiti. Dalam perkongsian bersama beliau, Encik Jamali sentiasa mengingatkan pelajar terus mencari peluang dan menggali peluang yang ada ketika berada di Universiti. Beliau turut mengalakkan pelajar-pelajar untuk menyambung pelajaran sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Panel hebat seterusnya ditampilkan dalam Program Alumni Foundation Talk (AF Talk) 2015 di Kolej Serumpun  pada 12 Oktober 2015 (Isnin) seperti Y.Bhg. Dato’ Dr. Hajah Mariam Mas Yacob (Alumni ’72) yang merupakan Pengerusi Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Encik Mansoor Wan Abdullah (Alumni ’78) yang kini menjawat jawatan sebagai Presiden Avon Malaysia. Pelajar-pelajar yang hadir cukup teruja dengan panel jemputan yang hadir apatah lagi Syarikat Avon merupakan syarikat gergasi kosmetik dan antarabangsa yang cukup dikenali diseluruh dunia.

Kolej Canselor diterajui oleh Dr. Paiwan Bawon sebagai Pengetua Kolej meneruskan Alumni Fundation Talk 2015 pada bulan November 2015. Kali ini pihak kolej menampilkan Alumni mereka iaitu Cik Jashireen Binti Mohd Bashir (Alumni 1993) Kolej Canselor yang kini bertugas sebagai pensyarah Bahasa Inggeris di Kolej Matrikulasi Johor. Cik Jashireen menampilkan penyampaian ceramah yang cukup bersahaja sehingga suasana di dalam dewan cukup meriah dan pelajar-pelajar yang hadir dilihat teruja dengan perkongsian ini.Dalam program ini juga Alumni Kolej Canselor 1993 turut hadir memberikan sokongan.

Kolej Ketujuh Belas (K17) meneruskan Alumni Foundation Talk ini pada awal Disember 2015 (Sabtu) dengan menampilkan 2 panel; Dr. Jass Khuzairi Jasmee; Doktor perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaysia yang merupakan Alumni 2007 dan Dr. Mohamad Shafie M. Lojong (Alumni 2000) yang kini bertugas sebagai Doktor Perubatan Veterinar di FELCRA Berhad. Perkongsian pengalaman zaman belajar, tips belajar turut dikongsikan bersama pelajar-pelajar kolej ini yang majoritinya merupakan pelajar doktor perubatan dan veterinar. Program ini mendapat sambutan yang cukup hangat daripada pelajar-pelajar kolej ini yang tidak putus-putus mengajukan soalan kepada panel-panel jemputan. Mereka dilihat cukup teruja untuk mengetahui pengalaman zaman belajar yang dikongsikan oleh panel jemputan.