PEMENANG PINGAT EMAS ALUMNI 2015 -

Cik Emerlia Rohayu Ramlan (Bacelor Sains Pertanian)

 

Berkat kegigihan dan usaha keras sepanjang tempoh pengajian membuahkan kejayaan cemerlang kepada Cik Emerlia Rohayu Ramlan (Bacelor Sains Pertanian), pemenang anugerah Pingat Emas Alumni dan membolot tiga Anugerah Utama lain iaitu Hadiah Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Pelajaran DiRaja (Bumiputera) dan Pingat Emas Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Rashdan Baba ketika Majlis Konvokesyen UPM ke-39 diadakan pada tahun 2015.

Ermelia yang berwatak ceria ini adalah anak jati Kuala Lumpur.  Beliau memilih Sarjana Muda Sains Pertanian sebagai pilihan untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah selepas tamat pengajian dalam kursus Asasi Sains Pertanian UPM.  Apabila dimaklumkan bahawa beliau adalah penerima empat Anugerah Utama Universiti, beliau terus tergamam dan berasa sangat bersyukur dengan pengikhtirafan yang diberikan.  Beliau dengan amat berbesar hati mendedikasikan kejayaan berganda ini sebagai hadiah kepada ibu bapa, ahli keluarga serta rakan-rakan seperjuangannya.

 

Sebagai bekas penghuni Kolej Ketiga Belas, UPM Cik Ermelia Rohayu juga seorang pelajar yang aktif dalam aktiviti-aktiviti Kolej.  Beliau pernah dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM) selama tiga sesi berturut-turut (2010-2013).  Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh beliau ialah menganjurkan tiga sesi Program Transformasi Pendidikan Lanjutan Jepun dan menjadikan Felda Mengkuang, Triang sebagai Felda Angkat.  Beliau juga pernah memimpin dan membawa pasukan Kolej Tiga Belas menjuarai pertandingan kebudayaan dan juga sukan di peringkat interkolej.  Dalam aktiviti Fakulti pula, Ermelia juga aktif pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Program “3rd dan 4th International Agricultural Student Symposium (IASS)” yang dianjurkan oleh Fakulti Pertanian UPM. Penglibatan beliau dalam acara antarabangsa ini memberi beliau pengalaman dan pemahaman yang lebih luas mengenai perkembangan bidang pertanian di peringkat antarabangsa.

 

Apabila ditanya resepi dan rahsia kejayaan beliau, Ermelia mengatakan tiada sebarang rahsia tetapi beliau mengamalkan untuk mengikuti setiap kuliah tanpa gagal kerana beliau yakin penerangan yang diberikan oleh pensyarah sewaktu kuliah amat membantu dan senang dipelajari.  Bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti di kampus juga mengajar beliau untuk merancang waktu untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah selain tugasan berkaitan aktiviti ko-kurikulum.  Rajin bertanya sekiranya terdapat perkara-perkara yang tidak difahami ketika dalam kelas juga membantu selain mengamalkan belajar secara berkumpulan kerana percaya kaedah ini dapat menguatkan lagi pemahaman terhadap sesuatu perkara melalui perbincangan dan perkongsian bersama rakan-rakan.  Ermelia berpegang kepada prinsip “Do the best and let there be no regrets” dan tidak pernah berputus asa sekiranya menemui kegagalan kerana ianya adalah pengalaman berharga yang dijadikan pengajaran dan paling penting tidak mengulanginya pada masa hadapan.  Beliau mengekalkan hubungan baik dengan ibu bapa kerana ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam kejayaan seseorang melalui doa dan restu yang diberikan. Ermelia akan menghubungi ibu bapa beliau hampir setiap hari walaupun hanya untuk bertanya khabar.

 

Tidak semua yang dilalui itu manis menurut Ermelia antara lain, kisah pahit yang tidak dapat beliau lupakan iaitu apabila berlaku salah faham di dalam sebuah organisasi yang pernah dianggotai beliau ketika di UPM yang mengakibatkan beberapa rancangan dan perjuangannya dalam menyumbang bakti kepada mahasiswa yang lain terhenti di tengah jalan.  Peristiwa ini merupakan satu titik hitam dalam kehidupannya sebagai siswa di universiti namun ada hikmah daripada peristiwa yang dialami, beliau bersyukur kerana dikelilingi oleh rakan-rakan yang terus bersama memberi sokongan di kala susah dan senang.  Setiap ujian yang hadir pasti boleh ditangani dan sudah pasti menjadikan beliau seorang insan yang lebih cekal dan tabah dalam menghadapi cabaran mendatang.

 

Tamat belajar Ermelia kini bekerja sebagai Pembantu Pengurus Restoran di sebuah Restoran Makanan Jepun di Cyberjaya.  Ditanya mengapa beliau memilih untuk terlibat dalam industri makanan? Jawapan beliau ialah ingin mencuba dan mencabar diri beliau.  Menurut beliau lagi, pada zaman kini, graduan tidak boleh memilih dan harus mengambil peluang di depan mata yang ada. Untuk perancangan masa hadapan, beliau merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang pertanian.  Sebagai Alumni UPM, beliau berjanji akan cuba untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti Alumni dan mengajak rakan-rakan beliau untuk turut serta dalam aktiviti-aktiviti ini.